Dimensi Pentadbiran Kepimpinan Dalam Hikayat Panglima Nikosa dari Perspektif Pendekatan Pengurusan

Authors

  • DR. SARA BEDEN

Keywords:

Dimensi Pentadbiran, Dimensi Tanggungjawab Sosial, Prinsip Kepimpinan, Dimensi Pendidikan, Dimensi Ekonomi

Abstract

Zuraidah Abdullah, Zahir Ahmad & Nuwairi Khaza’ai (2012) menyifatkan bahawa orang-orang Melayu sejak dari zaman silam telah menjadikan ilmu sebagai budaya kehidupan bagi memastikan generasi muda menjadi sumber tenaga manusia yang berkebolehan, berakhlak mulia dan menyepadukan kepentingan jasmaniah bagi melahirkan pemimpin unggul dalam kalangan masyarakat Melayu. Pemimpin ialah orang yang diberi kedudukan sebagai ketua manakala kepimpinan merujuk kepada pengaruh dan keupayaan individu yang dilantik sebagai ketua untuk memimpin orang bawahannya. Pemimpin diberi kepercayaan, kekuasaan dan kebebasan untuk mencorakkan pemerintahannya dengan kewibawaan dan karisma yang dimilikinya. Justeru, untuk memperlihatkan kecekapan, karisma, kaliber dan kewibawaan seseorang pemimpin yang berdaya kepimpinan maka pemimpin tersebut perlu memiliki strategi dan dasar-dasar yang efektif dan komprehensif agar kepimpinannya mendapat kepercayaan rakyat, lestari dan berdaya saing. Oleh itu, makalah ini bertujuan untuk membincangkan dasar kepimpinan yang dipraktiskan oleh pemimpin dalam Hikayat Panglima Nikosa (1876) karya Ahmad Shawal. Kaedah yang diaplikasi dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan dan kualitatif dengan memberikan fokus terhadap analisis teks menerusi karakter serta cara bertindak watak dalam peristiwa-peristiwa penting. Analisis ini mengaplikasikan Prinsip Kepimpinan dalam Pendekatan Pengurusan yang diketengahkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan (2013). Dapatan analisis menunjukkan bahawa Panglima Nikosa mempraktiskan Dimensi Pentadbiran, Dimensi Pendidikan, Dimensi Tanggungjawab Sosial dan Dimensi Ekonomi dalam Prinsip Kepimpinan bagi memastikan kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri Jalanan Baharu. Tuntasnya, Prinsip Kepimpinan dalam Pendekatan Pengurusan berupaya memprojeksikan dasar kepimpinan dengan signifikan dalam Hikayat Panglima Nikosa sebagai novel terawal dalam ujana Kesusasteraan Melayu.

Downloads

Published

01-01-2023