Islamologisme: Akhbar Melayu dan Intelektual Patriotik Dalam Sorotan Sejarah Sarawak, 1930-1950
Abstract
Makalah ini bertujuan menelaah citra perjuangan tiga akhbar Melayu (Fajar Sarawak, Utusan ASAS dan Utusan Sarawak) di Sarawak (merentasi dwizaman berbeza) dari perspektif komparatif. Penulis menggunakan kaedah dan analisis sejarah. Terdapat tiga pertimbangan asas yang mendasari telaah komparatif ini. Pertama, ketiga-tiga akhbar ini mempunyai persamaan dan perbezaan tertentu dalam pelbagai dimensi. Kedua, UA dan US mempunyai kesinambungan dan perkaitan menarik dengan FS dari segi matan perjuangannya. Ketiga, telaah komparatif secara holistik terhadap FS, UA dan US memperlihatkan agenda dan aspirasi FS yang diteruskan oleh UA dan US. Makalah ini berbeza (pada bahagian tertentu) dengan karya penulis, Akhbar Melayu Perjuangan di Sarawak. Buku ini tidak menyentuh perjuangan US. Perbandingaa antara FS dan UA pula sekadar disenggol seimbas lalu sahaja. Justeru, makalah ini akan menggarap ketiga-tiga akhbar ini secara inklusif dan konklusif. Seterusnya, skop US perlu dibataskan untuk tempoh awal penerbitannya sahaja (1949-1950) kerana ini merupakan tempoh kritikal (tahap pertama) zaman pemerintahan kolonial British di Sarawak (1946-1950). Struktur makalah ini disusun secara tematik: latar belakang, matan (agenda dan aspirasi atau isi kandungan utama terpilih) serta perbandingan dan kesinambungan.