Kemunculan Kepimpinan Melayu Baharu di Tanah Melayu pada awal hingga pertengahan abad ke-20
Keywords:
Melayu, Order Lama, British, radikal, IslamAbstract
Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang dinamik dan peka kepada perubahan. Walaupun pada awalnya mereka ini masyarakat yang patuh kepada pemerintah kerana mereka masih percaya kepada kepimpinan tradisional iaitu Sultan/Raja dalam memimpin mereka. Atas sebab itu semua urusan pentadbiran di tangan golongan pemerintahan tradisional di Tanah Melayu. Malahan mereka terikat kepada konsep daulat yang menyebabkan rakyat tidak boleh melawan pemerintah tradisional ini. Namun perkara ini mula berubah apabila berlakunya kemerosotan dalam kehidupan masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British. Golongan pemerintah tradisional tidak dapat lagi bertindak untuk memimpin seperti dahulu dan semua rancangan pembangunan terletak pada pegawai British. British pula mengutamakan pembangunan kapitalis Barat. Akibatnya orang Melayu yang tidak dibimbing beransur-ansur ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi ketika itu. Oleh itu, muncul lapisan kepimpinan baharu dalam masyarakat Melayu yang lahir dari kesabaran nasib masyarakat Melayu. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kumpulan tetapi mempunyai matlamat yang sama, iaitu memajukan orang Melayu pada era pentadbiran British. Manakala pendekatan mereka pula berbeza dalam mencapai matlamat ini. Ini kerana latar belakang pendidikan mereka yang berbeza mempengaruhi idea dan pendekatan mereka dalam memperjuangkan nasib orang Melayu pada zaman British. Oleh itu, artikel ini cuba menyoroti perkembangan kemunculan kepimpinan baharu dalam masyarakat Melayu. Kaedah kajian yang digunakan ialah kaedah kualitiatif dengan membuat kajian perpustakaan. Beberapa bahan mempunyai kaitan digunakan dalam melengkapkan kajian dan artikel ini. Manakala dapatan akhir artikel ini menunjukkan masyarakat Melayu berubah mengikut masa. Mereka tidak statik dan akan bertindak balas kepada apa-apa sahaja yang mempengaruhi orang Melayu. Oleh itu kepimpinan baharu muncul bagi melengkapkan perjuangan membela nasib orang Melayu.