Pengaruh Islam dan Citra Sastera di Malaysia:
Satu Tinjauan Awal
Abstract
Menerusi bab ini, penulis akan mengupas topik mengenai polemik sastera Islam di Malaysia dan teori sastera Islam menurut Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan). Kesusasteraan secara umumnya merupakan kerja-kerja yang terlibat secara langsung dengan bentuk penulisan. Genre yang selalu dimaksudkan dalam bentuk ini ialah novel, cerpen, puisi dan drama. Kesusasteraan juga merujuk kepada karya-karya yang tertulis dan dihasilkan daripada peradaban bangsa manusia. Ia mempunyai nilai-nilai kehalusan, perasaan, intuisi, harapan dan emosi. Seluruh bahan yang ada di alam nyata dan ghaib ini ialah ciptaan Tuhan Maha Esa dan Allah (SWT) telah menunjukkan manhaj-manhaj yang sesuai dilakukan seiring dengan peraturan dalam ayat suci al-Quran yang telah ditanzilkan-Nya. Salah satu daripada kaedah itu ialah kaedah persuratan atau kesusasteraan, asal sahaja tidak memesongkan bahannya. Dalam konteks ini, sastera Islam memungkinkan nilai-nilai universal yang dipetik daripada al-Quran dan nilai-nilai itu merupakan kriteria yang sesuai bagi umat manusia.