Perkembangan Media Internet dan Penularan Media Sosial, 1999-2023:
Peranan dan Pengaruh
Abstract
Sebelum bernoktahnya dasawarsa 1990-an, berlakunya perubahan sporadik terhadap evolusi dunia maklumat di serata dunia. Dengan perkembangan teknologi telekomunikasi yang serba canggih, gugusan maklumat bercempera dan berlegar secara pantas. Dunia yang sebegini luas, menjadi semakin kerdil. Fenomena ini dikenali sebagai desa global (global village). Bayangkanlah, siapakah yang tidak ingin menguasai dunia ini, padahal merekalah kuasa besar yang mampu melakukannya? Arus teknologi maklumat yang begitu deras dan lekit, kini menjalar dan menebar ke seluruh pelosok dunia. Dunia tanpa sempadan ini terbentuk hasil daripada perkembangan internet. Tidak ada sesiapa pun yang mahu ketinggalan melewati ledakan maklumat yang serba global. Akibatnya, empayar maklumat menjadi satu kuasa baharu dalam abad ke-21. Ini merupakan kesan mutakhir yang merembes dalam kehidupan manusia sejagat. Lantaran itulah, abad ke-21 dikenali sebagai The Age of Information dan The Wave of Information. Dunia bukan lagi semata-mata perumah Bani Adam. Dunia merupakan pembiak maklumat (sahih dan sesat) – dunia siber. Dalam dunia siber ini, internet muncul sebagai media maya, media digital dan media sosial vitalistik sejajar dengan globalisasi maklumat. Apakah kesudahannya?