Galeri Songket dan Keringkam, Warisan Ketamadunan Melayu Sarawak
Satu Tinjauan Sejarah Awal Pengasasan
Keywords:
Melayu Sarawak, Melayu Mahawangsa, Songket, KeringkamAbstract
Masyarakat Melayu Sarawak merupakan masyarakat yang unggul dan mahawangsa dengan memiliki ketamadunan yang tinggi. Kewujudan ketamadunan ini dapat dilihat dengan tinggalan warisan yang masih dirasai oleh generasi pada masa kini. Antara warisan tersebut ialah kebudayaan menenun songket dan menyulam keringkam Melayu Sarawak yang penuh dengan keindahan motif yang tersurat dan tersirat falsafah serta kosmologi Melayu yang menyelubunginya. Warisan dari leluhur zaman-berzaman ini diibaratkan permata yang hilang dan harus dipelihara agar menjadi kebanggaan generasi yang akan datang. Menyedari hakikat betapa signifikannya akan warisan songket dan keringkam dalam ruang lingkup masyarakat Melayu Sarawak, penubuhan Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) sangat memainkan peranan yang mapan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kebudayaan ini dibuktikan selaras dengan pelan pelaksanaan berasaskan teknologi digital di Sarawak. Usaha melestarikan warisan kebudayaan Melayu Sarawak ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan sebuah galeri yang dinamai Galeri Songket dan Keringkam yang julung kali dibuat di Sarawak. Galeri Songket dan Keringkam yang baharu ditubuhkan ini akan mendokumentasi segala songket dan keringkam Melayu Sarawak yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sarawak khususnya Melayu Sarawak yang cinta akan warisan nilai estetika pada songket dan keringkam. Oleh itu, artikel ini akan cuba melihat satu tinjauan sejarah awal pengasasan Galeri Songket dan Keringkam. Metodologi dan kaedah kajian yang digunakan pula menjurus kepada kajian kualititatif dengan merujuk kepada bahan sumber primer dan sekunder. Manakala dapatan akhir artikel ini akan memaparkan satu pemerhatian yang khusus memaparkan peristiwa yang telah berlaku merupakan peristiwa penting sebagai legasi Galeri Songket dan Keringkam.