Kontroversi Politik dan Kontradiksi Agama di Sabah, 1946-1976:
Sejarah dan Perkembangan
Abstract
Dalam Islam, agama dan negara merupakan dua entiti yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling memerlukan, namun memisahkannya justeru melahirkan konsep yang lain pula iaitu sekularisme. Bagi umat Islam, Islam (agama) berperanan sebagai garis panduan praktikal pemimpin untuk menjalankan pemerintahan negara. Lantaran itu, Islam merupakan sumber dan dasar rujukan tertinggi untuk negara Islam. Masa berlalu dengan pantas dalam kitaran sejarah. Musuh-musuh Islam iaitu kaum kafir bertindak memerangi Islam kerana Islam dianggap sebagai ancaman. Antara peristiwa penting yang memberikan kesan negatif terhadap hubungan Muslim-Kristian ialah Perang Salib. Kekalahan pakatan Kristian dalam Perang Salib telah memacakkan dendam sehinggakan motif penjajahan kuasa-kuasa kolonial Kristian-Barat ke Asia Tenggara amnya dan Sabah khasnya, ditunjangi sentimen Perang Salib. Peristiwa ini menjadi saksi zaman terhadap permusuhan antara dua umat bagi kedua-dua agama tersebut. Akhirnya, hubungan antara penganut Kristian-Islam terus menjadi keruh akibat prasangka dan prejudis keagamaan. Hakikat ini terheret dalam konteks politik kepartian di Sabah pada era politik kepartian. Bagaimanapun, terdapat satu lagi bentuk pergolakan yang lebih rumit iaitu persaingan dan pertentangan politik sesama Muslim di Sabah. Dalam konteks ini, Islam telah diseret ke medan politik untuk kepentingan politik kepartian lantas berbaur dengan kepentingan umat dan Islam itu sendiri. Bagaimanapun, akar kesejarahannya (pertembungan Islam-Kristian) dapat dilihat menerusi penentangan terhadap regim Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB), seperti disentuh selanjutnya.