Nasionalisme dan Kolonialisme di Sabah:
Kebangkitan Patriot Puterabumi Menentang Penjajah
Abstract
Islam, jihad dan patriotisme merupakan antara tema tuas dalam mengupas persoalan kesejarahan, khasnya dalam konteks nasionalisme dan kolonialisme. Di Sabah, dua tokoh mujahidin dan patriot yang menggemakan garizah Islam dan jihad dalam perjuangan anti-SBBUB ialah Panglima Muhammad Salleh (Mat Salleh) dan Syarif Osman. Tidak dilupakan, kesemua patriot berani mati yang berdiri tegak di belakang gerakan ini, bahkan sebahagian daripada mereka bukanlah beragama Islam; namun, mereka bangkit dalam perjaungan berdarah ini kerana mereka menghadapi musuh berbahaya yang sama iaitu SBBUB sebagai ejen ideologi kapitalisme kolonial British. Apakah natijah perjuangan mereka? Sungguhpun mereka tewas dalam serba keterbatasannya, namun perjuangan mereka tetap dihargai kerana mereka gugur sebagai melati bangsa. Darah yang mengalir dalam badan mereka dan darah yang menitis daripada tubuh mereka tidaklah ternilai harganya – kemerdekaan Sabahlah yang layak diangkat sebagai penebus yang selayaknya. Yang menariknya, proses sejarah ini turut memancarkan semula roh Perang Salib.