Membina Insan dan Peradaban Madani:
Idealisme dan Realisme
Abstract
Adakah masyarakat masa kini hidup secara bertamadun? Hampir setiap masyarakat dalam dunia mengisytiharkan mereka menjalani kehidupan bertamadun. Mereka percaya kehidupan bertamadun itu bermakna mempunyai jaminan pekerjaan, kelestarian sumber makanan, kemakmuran sistem ekonomi, literasi dan pendidikan seimbang, dinamisme perbandaran, kestabilan politik dan kelengkapan infrastruktur dan sebagainya. Konsepsi tentang ketamadunan dan komodenan yang ditakrifkan dalam kehidupan masa kini amat membimbangkan kerana ia boleh membahagikan kelompok masyarakat kepada dua bahagian iaitu yang moden dan primitif, yang tinggal di bandar dan tinggal di kawasan pedalaman. Sekiranya hanya masyarakat yang tinggal di bandar dianggap sebagai bertamadun, adakah masyarakat yang berada di kawasan pedalaman itu dianggap sebagai kolot? Walaupun mereka menyedari keberadaan dan kelangsungan pembangunan dunia moden, tetapi mereka tetap mengekalkan nilai jatidiri budaya sendiri untuk menyelamatkan diri daripada diperhambakan oleh arus kemodenan. Oleh itu, untuk menjawab persoalan setakat mana masyarakat masa kini hidup secara bertamadun, adalah lebih baik untuk memahami makna tamadun terlebih dahulu, kepentingan budaya lokalistik dalam kehidupan dan sendi kehidupan penting yang perlu dipelihara demi memastikan mereka terus hidup dalam ketamaduan sembari mengekalkan budaya asalnya.