Sejarah Perjuangan Wanita Dalam Perkhidmatan Awam, 1957-1970:

Hak, Kebajikan dan Keadilan

Authors

  • Sharifah Darmia Sharif Adam

Abstract

Dewasa ini, golongan wanita telah memberikan sumbangan konstruktif terhadap pembangunan negara. Peluang telah terbuka luas bagi golongan wanita untuk berkhidmat dan bersaing dalam pelbagai bidang sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Sebahagian daripada mereka berkecimpung dalam bidang pentadbiran, pendidikan, perubatan, perindustrian dan sebagainya. Tahap pendidikan dan kemahiran yang tinggi telah mendayaupayakan wanita untuk menceburi pelbagai bidang profesional, tidak terkecuali, pekerjaan yang lazimnya merupakan dominasi golongan lelaki. Namun begitu, keadaan agak berbeza bagi golongan wanita pada zaman kolonial British dan pascakemerdekaan (1957-1970). Walaupun negara sudah merdeka, tetapi masih terdapat jurang sosial dan diskriminasi antara wanita dan lelaki, termasuklah dalam perkhidmatan awam. Ketika itu, timbul isu kritikal seperti perjawatan tetap, persamaan gaji antara pekerja lelaki dan wanita. Isu ini menjadi antara persoalan utama yang seringkali dibangkitkan oleh pertubuhan tertentu bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja wanita terus terbela. Dalam konteks ini, terdapat dua pertubuhan utama yang dikenal pasti telah berperanan penting memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja wanita di negara ini iaitu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (National Council of Women’s Organisation – NCWO) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Congress of Union of Employees in the Public Services – CUEPACS).

Downloads

Published

01-01-2024