Kepincangan Sosial dalam Melati Sarawak dari Perspektif Teori Sosiologi

Authors

  • Sara Beden

Keywords:

gendang perempuan, kritikan sosial, Teori Sosiologi, keruntuhan akhlak, kepincangan sosial

Abstract

Kritikan sosial dalam teks-teks sastera merupakan tindakan untuk menekuni kelemahan, kepincangan dan kecelaan yang berlaku dalam masyarakat sebagai aspirasi untuk menyedar, memandu dan menyediakan alur yang betul kepada masyarakat untuk berubah ke arah yang lebih positif dan konstruktif. “Gendang perempuan” dalam novel Melati Sarawak merujuk kepada acara bergendang atau bermukun yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak sejak zaman tradisi sebagai aktiviti hiburan yang unik dan mampu berfungsi untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung, selain menjadi budaya ekspresif masyarakat Melayu Sarawak. Walau bagaimanapun, seni ini turut memberikan impak terhadap aspek sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis isu-isu sosial dalam novel Melati Sarawak (1987) karya Muhamad Rakawi Yusuf. Kajian ini merupakan kajian kualitatif sepenuhnya dengan mengaplikasikan kaedah kepustakaan dan analisis tekstual. Teori yang menjadi acuan analisis ialah Teori Sosiologi. Dapatan kajian memperlihatkan bahawa novel ini menggarap isu kepincangan sosial dari segi pengabaian terhadap kesopanan, keterpinggiran kemajuan bangsa, keruntuhan akhlak dan sahsiah, keghairahan pergaulan bebas, kelunturan adab berpakaian dan kelompangan dalam pendidikan. Kepincangan sosial dalam novel ini memberikan impak yang besar kepada keimanan, kesihatan, pekerjaan dan keperibadian dalam kalangan anak muda Melayu Sarawak. Kesimpulannya, kritikan soisal dalam Melati Sarawak berupaya memberikan kesedaran dan pencerahan kepada khalayak tentang impak ketaksuban yang melampau terhadap hiburan (gendang Melayu) agar menjadi cerminan pada masa depan.

Downloads

Published

30-06-2025