Awan Bagaikan Naga, Angin Bagaikan Harimau
Kebangkitan Patriot Puterabumi Sarawak Menentang Regim Kolonial Brooke, 1842-1861
Keywords:
Perang, Penjajahan, Brooke, Politik dan Sejarah SarawakAbstract
Makalah ini merupakan lanjutan daripada kertas awalan yang bertajuk, “Percaturan Politik dan Strategi Politiking dalam Perebutan Kuasa di Sarawak, 1841-1846”, dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Sains Sosial & Kemanusiaan 5, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor, 21-22 April 2020). Menerusi wacana siri ini, penulis terus merungkai kelincahan dan kelicikan protagonis politik (patriot dan penjajah) yang pernah bergelut dalam kancah pertempuran di Sarawak (1842-1861), khasnya membabitkan proses kesejarahan (menang atau kalah) dan strategi taktikal perang yang digunakan oleh patriot Sarawak ketika menentang kolonialisasi regim Brooke. Begitu juga sebaliknya. Kesemuanya ini dapat diperjelas dengan menggunakan kaedah dan analisis pensejarahan ilmiah. Penulis akan mencerakin seni (strategi dan taktik) perang yang membabitkan dua naratif sejarah terpilih: (i)seni perang tiga syarif Melayu-Arab (Syarif Sahab, Syarif Mullar dan Syarif Jaafar) ketika bertempur dan bertahan daripada ancaman kolonialisme regim Brooke di Sadong, Lingga dan kawasan sekitarnya, serta (ii)seni perang patriot Melayu dan Iban di Saribas, Sekrang dan kawasan sekitarnya, khasnya Abang Apong, Linggir, Mujjah dan Rentap. Naratif sejarah ini disampaikan secara sederhana, dengan mengambil ingatan, betapa pentingnya hikmah di sebalik pelbagai siri pertempuran getir dan sengit yang tercetus antara patriot dan penjajah di Bumi Kenyalang. Lantaran itu, penulis menggarap setiap gerak nafas percaturan dan gegaran nadi pertembungan politik yang rumit dalam proses sejarah yang menarik untuk ditelusuri, seperti disentuh selanjutnya.