USNO DAN BERJAYA DALAM PENSEJARAHAN POLITIK SABAH, 1976-1985:
SIMBIOSISME DAN DIKOTOMINISME
Keywords:
Sejarah, Politik, Islam, USNO, BERJAYAAbstract
Makalah ini mempunyai tiga tujuan penting (setiap satunya bersulaman dan berserampang dua mata): (i)memperluas tema politik simbiosisme dan dikotominisme dalam konteks persaingan politik kepartian (menerusi perbincangan ini, kita menujahkan keterlibatan USNO dan BERJAYA di Sabah sebagai rujukan); (ii)mengangkat tema pempolitikan agama (Islam) dalam proses politik dan dakwah Islamiah di Sabah secara kolaboratif (ini diwakili peranan kepolitikan di sebalik kegiatan dakwah USIA-USNO dan MUIS-BERJAYA) dan (iii)menyerantakan pelbagai idea kritis dan konstruktif, selain mengemukakan mancabahan penting (literatur kesarjanaan) yang berpintal dengan matan topik ini (menarik dan mencabar) – pempolitikan agama dalam politik kepartian – lantas memperlihatkan tahap kesukaran yang sangat tinggi dalam proses pensejarahan ilmiah; namun pengorbanan perit ini tidaklah dihargai selayaknya dalam ranah pengajian tinggi negara. Perlu diingatkan, pengabaian tragedik ini (terhadap ilmu sejarah, karya sejarah dan pensejarahan) akan merosakkan jihad dan ijtihad sejarawan di universiti. Hakikat ini membuktikan politiking (muslihat politik) bukan sekadar berlaku dengan rencam (ada kalanya kejam) dalam politik kepartian, bahkan politiking turut mewabaki – merayap dengan taktik lihai dan licik – dalam institusi pengajian tinggi negara dewasa ini. Reformasi universiti harus digiatgigihkan semula dengan keazaman politik dan keberanian intelektual iaitu kembali kepada keluhuran falsafah, budaya dan tradisi murninya sebagai institusi ilmu tertinggi.
