Ulasan Buku
Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak
Abstract
Kajian Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak, 300ESS (Era Sebelum Sekarang) - 1647ES (Era Sekarang) yang ditulis oleh Sanib Said setebal 271 halaman mengandungi 11 bab yang fokus utama pembicaraannya menegaskan tentang Santubong merupakan sebuah kerajaan Melayu awal yang ditubuhkan oleh Datu Marapati. Tempoh kewujudan kerajaan ini di sekitar tahun 300ESS hingga 1647ES. Santubong ialah sebuah daerah di Negeri Sarawak yang di dalamnya terdapat sebuah Gunung Santubong sekarang terkandung dalam Bandar Raya Kuching. Dalam merakamkan satu-satu peristiwa bersejarah sesebuah negeri dalam bentuk kajian hingga lahir sebuah buku bukanlah satu kerja yang mudah, lebih- lebih lagi apabila negeri yang dibicarakan sudah lama pupus dalam ingatan masyarakat. Atas sebab ini, berbagai cabaran dan rintangan telah dihadapi oleh penulis dalam merealisasikan kajian ini sebagai sebuah buku. Bagaimanapun, dengan berbekalkan semangat kental yang tidak pernah tumpul dalam jiwa penulis, maka segala hambatan dan cabaran dapat diatasi hingga menjadi kenyataan dengan terbitnya sebuah buku. Lantaran rintangan inilah penulisan buku ini mengambil masa lebih tiga dekad. Namun, usaha ini berbaloi apabila kemunculan buku ini menjadi sebuah naskhah karya sejarah awal yang mampu merombak liku-liku pensejarahan Sarawak dan Melayu umumnya.